
Beliau hanya dikenali sebagai Barakah (r.a) & gelaran Umm Ayman(r.a). Susur galur keturunan gadis berketurunan Abyssinia ini tidak begitu dketahui secara tepat. Seolah-olah jalan kehidupannya sudah tertulis sebagai hamba sahaya apabila semenjak dari kecil lagi beliau sudah dijual dipasar hamba di Mekah. Seperti mana-mana budak hamba, masa depan yang gelap menanti mereka di tangan bakal-bakal tuan atau pemilik yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Namun sesetengah daripada mereka bertuah kerana dibeli oleh orang-orang yang penyayang dan masih punya belas. Barakah (r.a) merupakan salah seorang daripadanya. Beliau telah diselamatkan oleh seorang lelaki yang pemurah dan baik hati bernama Abdullah, ayahanda kepada Rasulullah s.a.w. Barakah menjadi satu-satunya hamba sahaya yang menemani keluarga ini hinggalah Rasulullah s.a.w. wafat.
PENEMAN SETIA AMINAH
kehadirannya banyak membantu menyelenggara kehidupan rumah tangga Abdullah bersama-sama Aminah yang ketika itu masih muda belia. Selepas kelahiran Muhammad s.a.w. hinggalah Halima Sadiah (r.a) diangkat sebagai ibu susuan baginda, Barakahlah yang mengasuh kekasih Allah itu sedari kecil dan tidak pernah meninggalkan baginda hinggalah Barakah (r.a) sendiri berkahwin.
Sepanjang peninggalan Abdullah ke Syria mengikut sebuah kafilah dagangan, Barakah (r.a) tidak pernah jemu menjadi peneman setia Aminah yang baru dua minggu dikahwini Abdullah. Apakan daya Aminah untuk membantah kata-kata ayah mertuannya, Abd Muttalib yang mengarahkan suaminya untuk berpergian.
Barakah (r.a) pernah menyelinap secara diam-diam ke rumah Abd Muttalib dengan tujuan mahu merisik khabar berkenaan Abdullah daripada kabilah Syria yang tiba ke Mekah. Harapan tinggal harapan, tiada berita diperolehnya.
Namun kunjungan seterusnya amat-amat mengejutkan Barakah (r.a). Apabila berita kematian Abdullah disahkan benar, hamba wanita itu berlari menuju ke rumahnya sambil meraung-raung meratapi kehilangan tuan yang tercinta. Apalagi Aminah yang langsung pengsan apabila berita kematian itu sampai kepadanya.
Sebagai hamba yang amat mengasihi tuannya, Barakah (r.a) tidak pernah mengabaikan tanggungjawap menjaga balu muda itu yang sedang sarat hamil. Malahan ketika saat Rasulullah s.a.w. bakal lahir ke dunia, Barakah (r.a) merupakan orang yang pertama menyambut kelahiran insan istimewa itu dalam rangkulannya.
Kedua-dua wanita ini telah melalui pelbagai liku ranjau & suka duka bersama-sama sehinggalah tiba detik perpisahan mereka. Tubuh Aminah tidak lagi kuat menanggung penyakit yang dideritainya, lalu menghembuskan nafas terakhir meninggalkan Rasulullah s.a.w. berseorang sebagai anak yatim piatu. Barakah (r.a) sendiri yang telah menggali tempat persemadian Aminah dengan menggunakan kedua-dua tangannya.
Sambil membawa hati yang masih dalam kesedihan, Barakah (r.a) telah membawa si kecil Muhammad s.a.w. ke Mekah dan memeliharanya di bawah penjagaan datuk baginda, Abd Muttalib hinggalah Rasulullah s.a.w. meningkat dewasa menikahi Khadijah (r.a)
TEMAN HIDUP BARU BARAKAH (R.A)
Sedar akan status penjaganyayang masih bujang, Rasulullah s.a.w telah mencadangkan agar Barakah (r.a) berkahwin dengan Ubayd ibn Zayd (r.a) daripada bani khazraj sebagai teman hidup. Tanpa banyak soal lamaran pun diterima dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak yang diberi nama Ayman (r.a). Mulai saat itulah Barakah dipanggil dengan gelaran UMM Ayman (r.a) yang bermaksud ibu kepada Ayman.
Jodoh mereka tidak panjang apabila Ubayd (r.a) meninggal dunia tidak lama kemudiannya. Barakah (r.a) dikahwinkan dengan zayd ibn Harithah (r.a) iaitu anak angkat Rasulullah s.a.w. di kala tiada seorang sahabat pun yang sudi memperisterikan wanita tua yang berumur kira-kira 50 tahun itu.
BERHIJRAH SENDIRIAN KE YATHRIB (MADINAH)
Wanita berhati cekal ini telah berhijrah sendirian ke Madinah tanpa bantuan suaminya, Zayd (r.a) Beliau sanggup menempuh perjalanan yang sukar merentasi gurun panas dan gunung-ganang sebelum tiba ke sana dengan disambut penuh kegembiraan oleh Rasulullah s.a.w.
Di Madianh Barakah (r.a) memainkan peranan penting sebagai penggerak kerja-kerja dakwah disana. ketika peperangan uhud, beliau telah bertugas mengagihkan air minuman dan merawat para perjuang di perbatasan. Barakah (r.a) juga pernah menemani Rasulullah s.a.w. dalam beberapa ekspedisi seperti ke Khaybar dan Hunayn.
Satu-satunya anak Barakah, Ayman (r.a) telah gugur syahid di Hunayn pada tahun ke-8 Hijrah.
Suami beliau pula meninggal dunia ketika menyertai peperangan Mu'tah di Syria. Barakah (r.a) menjalani kehidupan berseorang pada usia 70-an. Rasulullah s.a.w. sa,bil ditemani Abu Bakar dan Umar (r.a) sering mengunjungi Barakah (r.a) di rumahnya. Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., Barakah (r.a) sering dilihat berada dalam kesedihan. Anas bin Malik (r.a) pernah melaporkan, selepas pemergian Rasulullah s.a.w. , Abu Bakar dan Umar (r.a) telah bertanyakan sebab-musabab kesedihan wanita mulia itu. Barakah (r.a) menjawap, beliau bersedih bukan kerana enggan mengakui hakikat kehilangan Rasulullah s.a.w., tetapi menangis mengenangkan wahyu yang sudah tidak lagi di turunkan dari langit.
Kesan iman Barakah (r.a) amat mengesan di jiwa setiap orang yang mengenalinya. Kepatuhan beliau kepada Islam adalah tulen dan kekukuhan akar imannya amat mencengkam hingga sukar diganggu-gugat. Rasulullah s.a.w. pernah mengatakan kepada para sahabat bahawa Allah telah menjanjikan Barakah (r.a) sebagai salah seorang penghuni syurga. Barakah dikurniakan hayat yang panjang dan meninggal dunia dalam usia melebihi 90 tahun ketika pemerintahan Khalifah kedua, Saidina Uthman (r.a) Identiti sebenar wanita ini terus terkubur bersama-sama dengan kegemilangan peribadinya.
No comments:
Post a Comment